Pemerkasaan Kurikulum Mata Pelajaran Umum (MPU) Berasaskan Nilai Maqasid Syariah: Satu Tinjauan Awal di UiTM Cawangan Sarawak
Abstract
Kajian ini bertujuan meninjau tahap kefahaman dan persepsi pelajar terhadap integrasi nilai Maqasid Syariah dalam pembelajaran Mata Pelajaran Umum (MPU) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak. Nilai Maqasid Syariah yang merangkumi pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, bertepatan dengan aspirasi kurikulum MPU dalam membentuk pelajar seimbang dan beretika. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif berbentuk tinjauan deskriptif dengan pengumpulan data melalui soal selidik yang melibatkan pelajar yang telah mengikuti kursus MPU. Dapatan awal menunjukkan bahawa pelajar mempunyai tahap kefahaman yang sederhana terhadap Maqasid Syariah dan menganggap penerapan nilai tersebut masih bersifat tidak langsung. Kajian mencadangkan pengukuhan kandungan MPU dengan pendekatan yang lebih tersusun berasaskan nilai Maqasid Syariah bagi mempertingkat penghayatan dan kesedaran etika pelajar.