Penjanaan Ekonomi Masjid dan Masyarakat Setempat Melalui Keusahawanan Sosial
Abstract
Dalam melahirkan sebuah peradaban Islam yang madani, masjid merupakan sebuah institusi yang memainkan peranan yang penting dan signifikan ke arah mendokong dan merealisasikan aspirasi dalam membina sebuah peradaban yang diidamkan. Kepelbagaian peranan masjid yang mencakupi pelbagai aspek seperti kerohanian, pendidikan, pentadbiran, sosial dan ekonomi telah ditunjukkan bermula era Rasulullah SAW hingga kini. Objektif artikel ini adalah bertujuan untuk menyoroti dan menganalisis penjanaan ekonomi masjid dan masyarakat setempat melalui aktiviti keusahawanan sosial. Melalui dapatan yang diperolehi, artikel ini ingin mengangkat dan mengetengahkan peranan dan fungsi masjid dari aspek ekonomi bagi tujuan penjanaan ekonomi masjid dan masyarakat setempat. Tujuannya agar fungsi dan peranan masjid dapat diletakkan sejajar dengan peranannya untuk manfaat masyarakat Islam, khususnya dari aspek ekonomi. Pendekatan yang digunakan bagi melaksanakan kajian ini adalah secara kualitatif melalui analisa kandungan yang dianalisis secara deskriptif. Terdapat pelbagai bentuk aktiviti yang berkonsepkan perekonomian keusahawanan sosial boleh dilaksanakan berpusatkan masjid yang dapat memberi impak kepada ekonomi masjid dan masyarakat.