Modul Akhlak Kontekstual Saudara Kita Sarawak: Pembangunan dan Kelestarian Pendidikan Islam Berasaskan Realiti Sosiobudaya Masyarakat Iban
Keywords:
Akhlak Islam, Pendidikan Islam Kontekstual, Saudara Kita, Masyarakat Iban, Pembangunan Modul, Sarawak.Abstract
Pendidikan akhlak merupakan komponen teras dalam sistem pendidikan Islam yang berfungsi membentuk keperibadian Muslim secara menyeluruh. Dalam konteks pembangunan saudara kita di Sarawak, aspek akhlak mempunyai kedudukan yang amat signifikan kerana proses pengislaman bukan sekadar melibatkan perubahan pegangan agama bahkan turut merangkumi transformasi pemikiran, tingkah laku, identiti dan hubungan sosial individu. Walau bagaimanapun, kebanyakan program pendidikan saudara kita di Malaysia masih memberi penekanan yang lebih besar terhadap aspek akidah dan ibadah berbanding pembangunan akhlak yang sistematik dan kontekstual. Keadaan ini menimbulkan jurang antara kefahaman agama dengan pengamalan nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian saudara kita khususnya dalam kalangan masyarakat Iban Muslim di Sarawak. Artikel ini bertujuan mencadangkan pembangunan Modul Akhlak Kontekstual Saudara Kita Sarawak yang berasaskan pendekatan Pendidikan Islam Kontekstual. Kajian menggunakan kaedah analisis dokumen terhadap sumber-sumber primer dan sekunder yang berkaitan dengan pendidikan Islam, teori akhlak Islam, pembangunan saudara baru serta pendekatan pembelajaran kontekstual. Dapatan analisis menunjukkan bahawa pembentukan akhlak yang mengintegrasikan realiti kehidupan, budaya tempatan dan pengalaman sosial saudara kita mampu meningkatkan tahap kefahaman, penghayatan serta pengamalan Islam secara lebih berkesan. Modul yang dicadangkan merangkumi enam konstruk utama iaitu akhlak kepada Allah SWT, akhlak kepada diri sendiri, akhlak kepada keluarga, akhlak kepada masyarakat, akhlak dalam pekerjaan dan kehidupan serta akhlak dalam kepelbagaian budaya. Kajian ini menyumbang kepada penghasilan kerangka pendidikan Islam yang lebih relevan bagi komuniti saudara kita dan berpotensi menjadi salah satu komponen utama dalam pembangunan Modul Pendidikan Islam Kontekstual Saudara Kita Sarawak.
Kata Kunci: Akhlak Islam, Pendidikan Islam Kontekstual, Saudara Kita, Masyarakat Iban, Pembangunan Modul, Sarawak.