P143 PENGETAHUAN AGAMA SEBAGAI TERAS KETAHANAN INSTITUSI KELUARGA MUSLIM DALAM ERA DIGITAL
Abstract
Era digital telah memberi impak yang mendalam terhadap institusi perkahwinan Muslim di seluruh dunia. Perubahan corak komunikasi, peningkatan penggunaan media sosial dan ketagihan skrin telah mewujudkan cabaran baharu terhadap kestabilan rumah tangga. Kajian ini bertujuan menganalisis peranan pengetahuan agama, nilai kekeluargaan Islam dan literasi digital dalam memperkukuh ketahanan institusi perkahwinan di era digital berasaskan kajian literatur dan prinsip hukum Islam. Kajian ini bersifat konseptual dan menggunakan pendekatan analisis kandungan terhadap penulisan akademik, dokumen rasmi dan sumber hukum Islam. Sumber data merangkumi literatur berwasit, laporan institusi agama dan kerajaan serta kajian hukum Islam yang berlandaskan maqasid syariah dan qawa’id fiqhiyyah. Proses analisis dilaksanakan melalui pemetaan isu untuk mengenal pasti cabaran utama perkahwinan Muslim di era digital, diikuti analisis tematik bagi mengkategorikan dapatan kepada tema seperti konflik digital, peranan literasi digital, gaya keibubapaan, dan penerapan nilai dan hukum Islam. Hasil kajian menunjukkan bahawa penghayatan agama yang kukuh dan literasi digital yang baik dapat mengurangkan risiko konflik rumah tangga, kecurangan dalam talian dan ketagihan skrin. Prinsip maqasid syariah memberi panduan dalam memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, manakala qawa’id fiqhiyyah menyediakan kerangka penyelesaian hukum bagi menangani kemudaratan digital. Dapatan kajian menegaskan bahawa peranan aktif ibu bapa, khususnya bapa, adalah faktor penting dalam memastikan penggunaan teknologi terkawal dan selari dengan nilai Islam. Kajian ini mencadangkan integrasi pendidikan agama dan literasi digital sebagai strategi utama menghadapi cabaran digitalisasi terhadap institusi perkahwinan Muslim. Cadangan ini berpotensi menjadi rujukan kepada pembuat dasar, institusi pendidikan dan masyarakat dalam merangka inisiatif berteraskan nilai Islam bagi memperkukuh ketahanan keluarga di era digital.