Masjid Sebagai Hab Pembangunan Komuniti Lestari: Membangunkan Model I-Smart Mosque Framework melalui Projek Aquaponik Lobster Hijau Moden (Flp-Gaps 3.0) bagi memperkasa Ahli Kariah B40 di Sabah
Abstract
Kajian tentang institusi masjid lazimnya menumpukan tadbir urus, kewangan dan transformasi organisasi, sedangkan peranannya sebagai hab pembangunan komuniti berasaskan teknologi masih kurang diterokai (Ab. Muin et al., 2024; Md Radzi et al., 2023). Kajian ini meneroka peranan masjid dan pelaksanaan Freshwater Lobster Production-Green Aquaponic Perennial System (FLP-GAPS 3.0) dalam membangunkan kemahiran, penyertaan dan peluang penjanaan pendapatan komuniti B40, serta membangunkan i-SMART Mosque Framework. Kajian kes eksploratori berpendekatan kualitatif dominan ini dilaksanakan di Masjid Al-A‘laa, Kampung Lokub, Sepanggar, Sabah. Seramai 30 responden terlibat, terdiri daripada 15 peserta projek, lapan ahli jawatankuasa masjid, tiga rakan industri dan empat jemaah pemerhati; empat penyelidik bertindak sebagai penyelidik dan pelaksana, bukan responden. Data diperoleh melalui sekurang-kurangnya 28 dokumen projek, pemerhatian lapangan dan temu bual berpandukan soal selidik berstruktur, lalu dianalisis secara deskriptif dan tematik. Dapatan awal menunjukkan perkembangan kemahiran mengurus lobster air tawar dan akuaponik, pengukuhan kolaborasi universiti-industri-masjid-komuniti, serta pembentukan asas peluang penjanaan pendapatan. Sistem Internet of Things (IoT) digunakan dalam tiga bulan terakhir pemantauan untuk menyokong pengumpulan data operasi. Data tersebut menyediakan asas kepada aplikasi AI pada masa hadapan, namun AI belum dilaksanakan atau diuji dalam projek ini. Berdasarkan sintesis literatur dan bukti kajian kes, i-SMART Mosque Framework dicadangkan sebagai kerangka konseptual awal yang mengintegrasikan maqasid al-syariah, keusahawanan sosial Islam, teknologi hijau, transformasi digital dan AI. Kerangka ini memperluas literatur pembangunan komuniti berasaskan masjid dan menyediakan panduan awal untuk replikasi, tertakluk pada pengujian lanjut dalam konteks yang berbeza.
Kata kunci: Masjid lestari, FLP-GAPS 3.0, akuaponik lobster air tawar, keusahawanan sosial Islam, maqasid alsyariah, kecerdasan buatan (AI).