Kepentingan Penguasaan Bahasa Arab dalam Memahami Sumber Ajaran Islam pada Era Digital
Keywords:
bahasa Arab; kecerdasan buatan; literasi digital; sumber ajaran Islam; terjemahanAbstract
Perkembangan teknologi digital telah memperluas akses masyarakat kepada sumber ajaran Islam melalui laman sesawang, media sosial, aplikasi digital dan kecerdasan buatan (AI). Walaupun kemudahan ini mempercepatkan proses pencarian dan penyebaran maklumat agama, pengguna turut berhadapan dengan cabaran berkaitan ketepatan terjemahan, kredibiliti sumber dan kesahihan kandungan yang dijana secara digital. Dalam konteks ini, penguasaan bahasa Arab kekal relevan kerana al-Quran, hadis dan sebahagian besar karya turath disampaikan dalam bahasa tersebut. Kajian ini bertujuan mengenal pasti cabaran dalam memahami sumber ajaran Islam pada era digital serta menganalisis kepentingan penguasaan bahasa Arab dalam memahami sumber tersebut. Kajian menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis kandungan terhadap artikel jurnal, buku akademik dan dokumen rasmi yang berkaitan dengan bahasa Arab, sumber ajaran Islam, penterjemahan, teknologi digital dan AI. Dokumen dipilih secara bertujuan berdasarkan kesesuaian dengan objektif kajian, kewibawaan sumber dan kebolehcapaian teks penuh, manakala data dianalisis melalui proses pembacaan, pengekodan, pengelompokan dan pembentukan tema. Dapatan menunjukkan tiga cabaran utama, iaitu kebergantungan terhadap terjemahan dan kandungan agama yang dipermudah, ketidakpastian autoriti dan kredibiliti sumber digital serta keterbatasan AI dalam menghasilkan maklumat agama yang tepat dan sesuai dengan konteks. Penguasaan bahasa Arab pula membantu pembaca memahami struktur dan makna teks asal, menilai serta membandingkan terjemahan, mengakses sumber keilmuan Islam secara lebih langsung dan melakukan semakan awal terhadap kandungan digital serta output AI. Kajian menyimpulkan bahawa teknologi dan penguasaan bahasa Arab perlu dimanfaatkan secara saling melengkapi bersama literasi digital, penguasaan disiplin ilmu Islam dan rujukan kepada ilmuwan yang berautoriti bagi membentuk pemahaman sumber ajaran Islam yang lebih teliti, kritis dan bertanggungjawab.
Kata Kunci: bahasa Arab; kecerdasan buatan; literasi digital; sumber ajaran Islam; terjemahan