P094 Reka Bentuk Kurikulum dan Kompetensi Graduan Program Diploma Halal di Malaysia: Analisis Perbandingan antara UiTM dan POLISAS
Abstract
Pendidikan halal di Malaysia berkembang sejajar dengan peningkatan keperluan industri halal global, namun reka bentuk kurikulum program halal yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi masih memperlihatkan orientasi yang berbeza. Sehingga kini, kajian yang membandingkan secara sistematik reka bentuk kurikulum program halal antara institusi pengajian tinggi di Malaysia masih terhad. Oleh itu, kajian ini bertujuan membandingkan syarat kemasukan, reka bentuk kurikulum dan implikasi terhadap kompetensi graduan bagi dua program diploma halal, iaitu Diploma Pengurusan Halal di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Diploma Teknologi Makanan Pengurusan Halal di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS). Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui reka bentuk kajian perbandingan dengan kaedah analisis dokumen terhadap dokumen rasmi kurikulum yang diakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Data dianalisis menggunakan analisis kandungan kualitatif melalui pengelasan kursus kepada lima domain utama, iaitu kursus wajib, pengurusan dan perniagaan, syariah dan fiqh, sains makanan dan teknologi, serta aplikasi halal dan industri. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kedua-dua program berkongsi matlamat untuk melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri halal, namun berbeza dari segi orientasi reka bentuk kurikulum. Program UiTM memberi penekanan kepada penguasaan syariah, fiqh dan tadbir urus halal, manakala program POLISAS lebih berorientasikan sains makanan, teknologi dan sistem jaminan halal. Perbezaan ini menghasilkan profil kompetensi graduan yang saling melengkapi, iaitu kompetensi pengurusan halal berasaskan syariah dan kompetensi teknikal dalam industri makanan halal. Kajian ini menyumbang kepada pemahaman tentang kepelbagaian model pendidikan halal di Malaysia serta mencadangkan bahawa pembangunan kurikulum halal pada masa hadapan wajar mengintegrasikan kekuatan kedua-dua orientasi bagi menghasilkan modal insan halal yang lebih holistik dan memenuhi keperluan ekosistem industri halal negara.