Prospek Penggunaan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) dalam Melestari Pendidikan Mualaf di Malaysia
Prospects of Using Artificial Intelligence (AI) in Preserving the Education of New Muslim Converts (Muallaf) in Malaysia
Abstract
Kajian ini meneroka potensi penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam memperkasa proses pembelajaran mualaf khususnya dalam konteks pendidikan Islam. Peralihan seseorang kepada agama Islam bukan sahaja melibatkan aspek keimanan, tetapi juga keperluan kepada kefahaman yang mendalam terhadap ajaran agama, budaya baharu dan sistem nilai masyarakat Muslim. Namun, kekangan dari segi sumber manusia, bahan pembelajaran serta lokasi geografi sering menjadi cabaran utama dalam menyampaikan ilmu kepada mualaf secara berkesan. Sehubungan itu, teknologi AI berupaya menjadi pemangkin kepada pendekatan pembelajaran bersifat peribadi, adaptif dan interaktif. . Kajian ini menggunakan kajian kualitatif menerusi kaedah analisis dokumen meliputi jurnal, prosiding, tesis dan bahan-bahan rujukan skunder lain yang dapat memberi input mengenai Kecerdasan Buatan (AI) dan pendekatan pembelajaran mualaf. Hasil kajian mendapati aplikasi berasaskan AI seperti tutor maya, chatbot dakwah dan pembelajaran bahasa al-Quran menggunakan pemprosesan bahasa semula jadi (NLP) dapat membantu mualaf meningkatkan kefahaman mereka terhadap Islam. Malahan Integrasi AI dalam modul pembelajaran mualaf mampu meningkatkan kadar penglibatan, kefahaman dan motivasi pembelajaran mualaf. Kajian ini mencadangkan pembangunan ekosistem teknologi yang bersifat holistik, inklusif dan mesra pengguna untuk menyokong pembelajaran berterusan mualaf secara lestari.