Kelestarian Penggunaan Sistem Akuaponik Terhadap Alam Sekitar Dari Perspektif Islam: Satu Kajian Literatur

  • Mohd Shafik Mohd Samsi Universiti Teknologi MARA, Cawangan Sarawak
  • Mohd Zuhaili Kamal Basir Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Sarawak
  • Norliza Gerunsin Universiti Teknologi MARA, Cawangan Sarawak
Keywords: Akuakultur, Akuaponik, Kelestarian, Islam, Teknologi

Abstract

Teknologi dalam bidang pertanian dilihat semakin berkembang dari semasa ke semasa. Perkembangan yang pesat ini dapat membantu dalam menghasilkan produk yang berkualiti dalam masa yang singkat. Akuakultur merupakan antara cabang pertanian yang semakin dikenali pada masa ini. Terdapat beberapa teknologi telah dihasilkan dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil akuakultur antaranya adalah sistem akuaponik. Sistem akuaponik adalah satu sistem yang menggabungkan ternakan haiwan akuatik dan tanaman sayuran dengan menggunakan air sebagai media tanaman. Jika dilihat dalam pertanian konvensional yang menggunakan tanah sebagai media tanaman, terdapat beberapa masalah telah berlaku antaranya berkenaan pencemaran tanah, kemerosotan kesuburan tanah, penggunaan racun, dan isu berkenaan kebersihan produk yang dihasilkan. Penggunaan bahan kimia yang berlebihan dalam amalan pertanian konvensional amatlah membimbangkan. Ianya amat berbeza jika dibandingkan dengan sistem akuaponik yang lebih mesra alam dan dapat menghasilkan produk dari sumber organik dan tidak merbahaya. Oleh yang demikian, penulisan ini bertujuan untuk membincangkan berkenaan kelebihan sistem akuaponik seterusnya melihat kelestarian penggunaan sistem ini terhadap alam sekitar terutamanya dari perspekif islam. Kaedah penulisan ini berbentuk kualitatif berasaskan kajian dan penyelidikan yang terdahulu menerusi dokumen dari koleksi jurnal, artikel ilmiah, tesis dan buku-buku yang berkaitan bidang kajian. Hasil penulisan mendapati bahawa sistem akuaponik dapat memberikan kebaikan terhadap manusia disamping memelihara persekitaran alam sekitar. Penghasilan produk tanpa menggunakan bahan kimia yang merbahaya dilihat dapat membantu dalam memelihara dan memulihara alam sekitar terutamanya air dan tanah yang menjadi sumber utama kehidupan manusia. Sistem ini didapati selaras dengan tuntutan Islam dan maqasid syariah dalam memelihara nyawa di mana bahan yang digunakan dalam sistem ini terhindar dari bahan-bahan tercemar dan menjamin tahap kebersihan hasil. Kajian ini diharap dapat memberi impak kepada peningkatan penggunaan sistem ini pada masa hadapan dalam usaha untuk memelihara persekitaran dengan penggunaan sistem yang lebih mesra alam.

Published
2023-11-01
How to Cite
Mohd Samsi, M. S., Kamal Basir, M. Z., & Gerunsin, N. (2023). Kelestarian Penggunaan Sistem Akuaponik Terhadap Alam Sekitar Dari Perspektif Islam: Satu Kajian Literatur. Proceedings Borneo Islamic International Conference EISSN 2948-5045, 14, 239-243. Retrieved from https://majmuah.com/journal/index.php/kaib1/article/view/464