Galeri Islam Nusantara UiTM Cawangan Sarawak : Keberkesanan dalam memelihara ilmu serta sejarah di Wilayah Nusantara

  • Dayang Azimah binti Abang Yusof Universiti Teknologi Mara Sarawak

Abstract

Galeri Islam Nusantara UiTM Cawangan Sarawak merupakan salah satu kebanggaan bagi warga UiTM Cawangan Sarawak khususnya kerana hasil usaha daripada para penyelidik Wali Songo ini, berpotensi menjadikan galeri ini sebagai pusat rujukan utama mengenai perkembangan Islam di Borneo. Oleh itu, dengan adanya penampilan koleksi-koleksi pameran dalam bentuk artifak, model, replika, peta serta manuskrip ini dapat memberi pendedahan dalam meluaskan ilmu serta sejarah di kalangan masyarakat am nya. Kajian berbentuk deskriptif ini bertujuan mengenal pasti keberkesanan Galeri Islam Nusantara UiTM Cawangan Sarawak dalam memelihara ilmu serta sejarah di Wilayah Nusantara. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan borang soal selidik (Google Form) sebagai instrument kepada 62 orang responden yang telah berkunjung ke galeri ini. Secara keseluruhan, kod QR telah digunakan sebagai platform inisiatif untuk menjalankan dan memantau tinjauan dengan cekap. Analisis data dikumpul menggunakan Google Sheet dan kajian mendapati bahawa majoriti responden (82%) memilih penskalaan ‘Amat baik’ dan menyatakan bahan-bahan yang dipamerkan mengandungi maklumat yang memberi impak dan ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat. Hasil dapatan juga menjumpai majoriti responden (75%) meletakkan skala ‘Amat baik’ iaitu bahan fizikal yang tersedia seperti koleksi-koleksi Al-Quran dan kitab membantu dalam memelihara dan memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada masyarakat. Salasilah Sarawak merupakan pilihan utama dalam bahagian yang dapat memberi kesan kepada responden iaitu sebanyak 32% dan diikuti dengan Kerajaan Kesultanan Islam di Sarawak (20%). Selain itu, 79% menyatakan galeri ini menarik minat mereka dengan lebih mendalam terhadap ilmu dan sejarah di Wilayah Nusantara dan 88% menyatakan akan mengesyorkan mengenai galeri ini kepada orang terdekat. Justeru, galeri ini membuktikan bahawa ianya memberi kesan yang positif dalam usaha untuk memelihara ilmu serta sejarah yang terdapat di Wilayah Nusantara.

Published
2023-11-01
How to Cite
Abang Yusof, D. A. (2023). Galeri Islam Nusantara UiTM Cawangan Sarawak : Keberkesanan dalam memelihara ilmu serta sejarah di Wilayah Nusantara. Proceedings Borneo Islamic International Conference EISSN 2948-5045, 14, 355-360. Retrieved from https://majmuah.com/journal/index.php/kaib1/article/view/527