P070 Naratif Budaya dan Komunikasi Simbolik dalam Rumah Tradisional Adat Perpatih: Analisis Berasaskan Prinsip Estetika Melayu Zakaria Ali
Abstract
Artikel ini meneroka penerapan naratif budaya dengan pendekatan prinsip estetika Melayu yang diperkenalkan oleh Zakaria Ali (1987) dalam seni bina rumah tradisional masyarakat Adat Perpatih di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Budaya sentiasa berkomunikasi dan ianya tidak semestinya menggunakan perkataan. Walaupun seni bina rumah tradisional Melayu telah banyak dibincangkan dari sudut sejarah, tipologi dan fungsi ruang, kajian yang mengaplikasikan prinsip estetika Melayu sebagai kerangka analisis empirikal masih terbatas. Justeru, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif eksploratori berasaskan kajian kes dengan melibatkan pemerhatian lapangan, temu bual separa berstruktur dan analisis dokumen terhadap dua tapak kajian utama, iaitu Rumah Warisan Norlida dan Istana Seri Menanti. Data dianalisis secara tematik dengan memetakan dapatan kepada enam prinsip estetika Melayu, iaitu berlambang, berguna, halus, bersatu atau harmoni, berlawan dan bermakna. Dapatan menunjukkan bahawa prinsip estetika Melayu bukan sahaja membentuk keindahan visual seni bina, malah berfungsi sebagai medium penyampaian nilai adat, falsafah hidup dan identiti masyarakat Adat Perpatih. Kajian ini menyumbang kepada pengukuhan teori estetika Melayu sebagai alat analisis seni bina warisan serta membuka ruang kepada penyelidikan lanjutan dalam bidang seni bina tradisional dan kontemporari.