Abstract

Penyelidikan ini bertujuan untuk mengetahui tahap kesedaran dari kalangan masyarakat beragama Islam terhadap wakaf di PWS (Perbadanan Wakaf Selangor) melalui wakaf tunai. Terdapat faktor-faktor yang mempengaruhi kesedaran masyarakat yang mana memberi impak kepada keberkesanan wakaf tunai kepada komuniti terutamanya kepada umat Islam. Kurangnya kesedaran apabila berlaku permasalahan misalnya kurang pemahaman dan salah anggap menjadi asbab kepada kelemahan dalam menjalankan kaedah wakaf jenis ini. Oleh itu, beberapa langkah boleh diambil untuk mengatasi permasalahan tersebut seterusnya dapat meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya umat Islam untuk memberi wakaf. Objektif kajian yang dilakukan adalah untuk mengenalpasti apakah punca yang menyebabkan kurangnya kesedaran dan reaksi masyarakat terhadap dana wakaf tunai, memberi pencerahan atau penjelasan kepada masyarakat mengenai perkara ini serta membaikpulih pengetahuan dari kalangan umat Islam di Selangor terhadap wakaf dengan lebih efektif. Kaedah yang digunakan sebagai cara untuk mendapatkan maklumat adalah dengan cara kualitiatif iaitu sesi temu bual di mana terdapat beberapa wakil dari institut PWS dijadikan sebagai responden untuk menjawab segala yang berkaitan dengan wakaf tunai. Hasil yang diperoleh dari sesi temu bual kemudian akan dianalisis dan dikaji untuk menemukan jawapan untuk memenuhi kehendak objektif kajian dan untuk mengetahui sama ada ia bertepatan ataupun sebaliknya. Secara tuntasnya, dapat dirumuskan bahawa keberkesanan dana wakaf tunai yang memberi manfaat kepada komuniti dapat direalisasikan dengan peningkatan daya pengetahuan yang baik oleh masyarakat terutamanya umat Islam di negeri ini.