Abstract

Peranan dan kebolehpercayaan halal produk yang berasal dari negara majoriti muslim seperti Arab Saudi, Mesir, Jordan dan UAE boleh dipertikaikan. Kebiasaannya, produk yang dihasilkan oleh negara-negara seperti ini dianggap sebagai “kullu halal” walaupun hakikatnya rantaian pemprosesan produk memerlukan atau mengimport produk dari negara bukan Islam dalam menghasilkan produk akhir. Wujud persoalan yang signifikan berkenaan pengimportan produk yang terlibat di dalam pemprosesan makanan, namun diragui sifat “toyyib” yang ada pada produk tersebut. Oleh itu, status pensijilan produk import ini merupakan satu langkah keselamatan bagi masyarakat Islam dan perlu diberi penelitian yang serius kerana didapati status pensijilan halal di negara Islam Timur Tengah kurang efisien dan tidak mendapat sokongan pihak kerajaan sepertimana Malaysia. Kajian ini terhad kepada pembelian produk makanan yang diimport dari Negara Timur Tengah yang tiada pensijilan halal. Penyelidikan mengenai tuntutan pensijilan halal di antara negara majoriti Muslim seperti Negara Timur Tengah dan negara multi-budaya seperti Malaysia perlu dijalankan untuk menguji tahap kesedaran pengguna Muslim itu sendiri. Manakala hasil kajian pula diharap menjadi garis panduan kepada negara-negara majoriti Muslim dalam penyusunan strategi ke arah pensijilan halal yang dinamik bagi meningkatkan kepercayaan pengguna Muslim, sekaligus meningkatkan jumlah dagangan produk.