Abstract

Mata Pelajaran Umum (MPU) terdiri daripada beberapa kursus yang diwajibkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi seperti kursus Penghayatan Etika dan Peradaban (PEP) dan Falsafah dan Isu Semasa (FIS). Ia diperkenalkan dengan tujuan untuk mempersiapkan mahasiswa agar menghayati etika, peradaban serta nilai murni dalam meraikan kepelbagaian masyarakat di Malaysia. Kajian ini dijalankan untuk mengkaji pandangan pelajar yang telah mengambil kursus PEP dan FIS dari aspek keberkesanan kursus tersebut dalam kehidupan mereka. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif iaitu dengan mengedarkan instrumen soal selidik kepada 1837 orang pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Data yang diperoleh dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS 23.0. Hasil kajian mendapati bahawa pelajar mengakui nilai toleransi wujud dalam kurikulum MPU dan ia mampu mendidik pelajar mengaplikasi nilai murni dalam kehidupan seharian. Kajian ini mencadangkan agar penambah baikan dari aspek penyampaian kandungan kursus MPU supaya nilai toleransi dapat diperkukuh untuk dihayati oleh pelajar dan diaplikasi dalam kehidupan harian di masa akan datang.