Tahap Kesedaran Terhadap Hibah, Faraid dan Wasiat dalam Kalangan Warga Kuching dan Samarahan, Sarawak
Abstract
Isu harta pusaka tidak dituntut dalam kalangan umat Islam di Malaysia terus meningkat, berpunca daripada kekeliruan terhadap hukum faraid, kekurangan perancangan harta melalui wasiat dan hibah, serta kelewatan dalam pengurusan pusaka. Kajian ini menilai tahap kesedaran masyarakat Islam Sarawak, khususnya di Kuching dan Samarahan terhadap hibah, faraid, dan wasiat sebagai instrumen utama pengurusan harta pusaka menurut syariah. Tinjauan awal menggunakan pendekatan bercampur, melibatkan soal selidik ke atas 300 responden Muslim di Kuching dan Samarahan, serta temubual kualitatif bersama-sama pengamal dan pakar bidang berkenaan. Dapatan menunjukkan 70% responden tahu tentang faraid, tetapi hanya 40% memahami pembahagian sebenar; 60% sedar tentang wasiat, namun hanya 18% telah menulis wasiat; dan hanya 35% faham konsep hibah, dengan 10% sahaja membuat dokumen hibah. Kekangan utama termasuk kurangnya pengetahuan syariah dan undang-undang, persepsi bahawa perancangan harta hanya penting selepas kematian, kos guaman yang tinggi, dan kurangnya promosi institusi. Kajian mencadangkan integrasi pendidikan pewarisan Islam dalam kurikulum sekolah menengah dan tinggi, kempen kesedaran nasional melalui kerjasama JAKIM, Amanah Raya, dan institusi kewangan, digitalisasi perkhidmatan perancangan harta, serta insentif cukai atau subsidi. Peningkatan kesedaran terhadap instrumen ini adalah penting untuk mengurangkan harta pusaka terbengkalai dan meminimumkan pertikaian keluarga, memastikan pengurusan pusaka yang patuh syariah.