Manuskrip-Manuskrip Borneo di Brunei: Satu Penelaahan Sepintas Lalu
Abstract
MANUSKRIP-MANUSKRIP BORNEO DI BRUNEI: SATU PENELAAHAN SEPINTAS LALU
Dr. Mardiah binti Haji Ramli
Adibah binti Md Jaafar
Siti Norhafizah binti Alias
Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan,
Negara Brunei Darussalam
ABSTRAK
Pembuktian sejarah terhadap ciri-ciri ketamadunan Islam di Alam Melayu bukan sahaja dilihat daripada aspek peninggalan arkeologi, warisan budaya dan kesenian, bahkan juga penghasilan daya sumber pemikiran intelektual bangsa Melayu yang dizahirkan melalui hasil karya tulisan tangan dalam bentuk tulisan jawi iaitu Manuskrip Melayu. Di Alam Melayu termasuk Kepulauan Borneo yang didiami oleh tiga negara iaitu Negara Brunei Darussalam; Sarawak dan Sabah, Malaysia; dan Kalimantan, Indonesia, masing-masing mempunyai manuskrip-manuskrip lama yang unik dan tersendiri yang melambangkan bangsa Melayu yang berkemahiran tinggi, berwibawa, dan kreatif pada ketika itu. Manuskrip yang dihasilkan itu mengandungi catatan sejarah yang direkodkan untuk kesinambungan bangsa dan tamadun negara masing-masing. Justeru, kajian ini akan memfokuskan terhadap manuskrip-manuskrip Borneo dalam pelbagai genre yang terdapat di Brunei khususnya yang ada dalam simpanan koleksi penBORNEO. Koleksi penBORNEO di Bahagian Pusat Pengkajian Borneo (penBORNEO), Pusat Sejarah Brunei merangkumi bahan-bahan sejarah seperti akhbar-akhbar lama, buku-buku nadir, buku-buku Borneo, dokumen-dokumen, bahan-bahan mikrofilem, peta-peta termasuklah koleksi bahan manuskrip yang disimpan untuk kepentingan rujukan dan pembelajaran. Objektif kajian ini ada dua iaitu pertama, mengetengahkan jenis-jenis manuskrip Borneo yang terdapat dalam koleksi penBORNEO. Objektif kedua ialah kepentingan manuskrip Borneo yang bukan sahaja mengandungi gambaran sejarah tetapi lebih penting ialah iktibar dan pengajaran daripada sejarah itu. Kajian manuskrip ini dilaksanakan dengan menggunakan kaedah kualitatif terhadap sebahagian bahan manuskrip Borneo sebagai sokongan kajian di samping merujuk sumber sekunder dalam menguatkan lagi fakta sejarah dalam manuskrip tersebut. Daripada hasil kajian manuskrip-manuskrip Borneo ini diharap dapat menjadikannya sebagai khazanah dan pusaka bangsa yang amat berharga sebagai dokumentasi dan rujukan akan datang, terutamanya bukan sahaja dalam kalangan para pengkaji sejarah tetapi pengkaji-pengkaji dari pelbagai bidang seperti bidang ilmu kebahasaan, filologi, dan kesusasteraan. Dapatan kajian ini turut memperlihatkan manuskrip itu bukan sahaja bertindak sebagai alat perhubungan tradisi masa lalu bahkan memberikan gambaran senario terhadap perkembangan politik, ekonomi, dan sosial yang berlaku di Kepulauan Borneo.
Kata kunci: Tamadun, Borneo, Brunei, Manuskrip, Melayu, penBORNEO