Pengaruh Imam Al-Sanusi Dalam Penulisan Ilmu Akidah Di Sarawak: Analisis Terhadap Risalah Hidayah Lil Walad al-Walad
Abstract
Islam di Sarawak telah mula mengukuhkan pengaruhnya sejak kurun ke-15M, dipengaruhi oleh jaringan intelektual para ulama dan pemerintahan Kesultanan Brunei serta budaya Melayu-Islam di rantau Kalimantan. Dalam proses Islamisasi tersebut, manuskrip Islam turut memainkan peranan yang penting dalam memperkayakan nilai-nilai Islam dan telah menunjukkan keupayaan untuk membentuk identiti keagamaan dalam kalangan umat Islam di Sarawak. Salah satu contoh penulisan yang signifikan untuk dikaji adalah Risalah Hidayah Lil Walad al-Walad (RHWW) iaitu sebuah penulisan berbahasa Melayu dalam huruf Jawi yang dikarang oleh seorang ulama tempatan Sarawak pada tahun 1924M. Kertas kerja penyelidikan ini bertujuan untuk menganalisis secara mendalam terhadap isi kandungan RHWW serta menilai pengaruh Imam Al-Sanusi dalam karya tersebut. Melalui metodologi analisis teks dan kajian kepustakaan, dapatan awal telah menunjukkan bahawa pengarang RHWW melalui karyanya sendiri telah membincangkan tema ilmu akidah berdasarkan kepada matan teks Umm Al-Barahin karya Imam Al-Sanusi iaitu seorang ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah pada abad ke-17M. Penelitian ini berdasarkan kepada persamaan teks Arab yang telah dinukilkan dan dalil-dalil yang digunakan oleh pengarang dalam mensyarahkan RHWW. Kajian ini diharap dapat membuka wacana baru mengenai peranan manuskrip Islam dalam memperkukuh kefahaman agama di Sarawak serta dijadikan sebagai sebuah rujukan praktikal bagi menghadapi cabaran pemikiran semasa. Selain itu, kajian ini turut menyumbang kepada usaha untuk membangunkan masyarakat yang berfikiran kritis dan harmoni serta selari dengan matlamat konferens untuk mempromosikan dialog antara peradaban dan kestabilan sosial.
Kata kunci: Manuskrip Islam, Sarawak, Ilmu Akidah, Dialog Peradaban