P128 WASATIYYAH AHLI SUNNAH WALJAMA‘AH DALAM ERA KECERDASAN BUATAN
MEMBINA KETAHANAN PEMIKIRAN DAN KELESTARIAN UMMAH
Abstract
Perkembangan pesat kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) telah membawa perubahan besar terhadap cara manusia memperoleh ilmu, membentuk pemikiran, membuat keputusan dan berinteraksi dengan pelbagai pandangan serta ideologi. Di sebalik manfaatnya dalam memperluas akses kepada ilmu dan mempercepat penyebaranmaklumat, AI turut berpotensi memperkukuh kecenderungan pemikiran yang tidak seimbang melalui bias algoritma, echo chamber, penyebaran maklumat tanpa autoriti serta penghasilan interpretasi agama yang terpisah daripada disiplin keilmuan. Makalah ini bertujuan menganalisis konsep Wasatiyyah Ahli Sunnah Waljama‘ah (ASWJ) sebagai kerangka membina ketahanan pemikiran dan kelestarian ummah dalam menghadapi cabaran era AI. Perbincangan memberi perhatian kepada beberapa cabaran utama, antaranya liberalisme, pluralisme agama, sekularisme, ekstremisme serta kecenderungan neo-literalisme dan neo-rasionalisme yang boleh diperluas atau diperkukuh melalui ekosistem digital dan AI. Berdasarkan analisis, makalah ini mengemukakan enam komponen kerangka wasatiyyah ASWJ, iaitu ketetapan asas (thabāt al-uṣūl), fleksibiliti dalam perkara cabang (murūnah al-furū‘), keseimbangan antara naql dan ‘aql, fiqh al-wāqi‘, pemeliharaan Maqasid Syariah dan pertimbangan ma’ālāt, serta rujukan kepada autoriti keilmuan yang muktabar. Kerangka ini menegaskan bahawa keterbukaan terhadap teknologi perlu berjalan seiring dengan keteguhan terhadap prinsip wahyu, penggunaan akal yang sahih, kefahaman terhadap realiti dan pertimbangan maslahat serta implikasi sesuatu tindakan. Berdasarkan perbincangan, AI tidak sewajarnya dilihat sebagai ancaman yang perlu ditolak, mahupun sebagai autoriti yang diterima tanpa batas, sebaliknya sebagai wasilah yang perlu dipandu oleh manhaj ilmu dan nilai Islam. Pendekatan wasatiyyah ASWJ berpotensi membentuk ummah yang mampu memanfaatkan AI secara kritis, beretika dan berhikmah, sekali gus memperkukuh ketahanan pemikiran serta menyumbang kepada kelestarian ummah dalam menghadapi transformasi peradaban digital.