P121 Dapur Halal MADANI: Pembangunan Kerangka Tadbir Urus Dapur Komuniti Berteraskan Nilai Malaysia MADANI di Institusi Pengajian Tinggi

  • Muhammad Remy Othman Senior Lecturer
Keywords: Dapur Halal MADANI, Malaysia MADANI, Tadbir Urus Halal, Dapur Komuniti, Institusi Pengajian Tinggi

Abstract

Penyediaan dapur komuniti di institusi pengajian tinggi (IPT) merupakan inisiatif kebajikan yang menyokong kesejahteraan pelajar melalui penyediaan kemudahan memasak secara kendiri. Namun demikian, penggunaan dapur secara bersama melibatkan pelbagai pengguna, bahan makanan dan peralatan yang berpotensi menimbulkan risiko terhadap integriti halal, keselamatan makanan, kebersihan serta pencemaran silang. Keadaan ini menunjukkan bahawa kesedaran halal semata-mata belum memadai tanpa mekanisme tadbir urus yang sistematik dan berterusan. Justeru, kajian ini bertujuan mengenal pasti isu dan risiko halal dalam pengurusan dapur komuniti, menganalisis elemen tadbir urus berdasarkan prinsip halalan tayyiban dan Maqasid Syariah, meneliti penerapan enam nilai teras Malaysia MADANI, serta membangunkan Kerangka Dapur Halal MADANI bagi IPT. Kajian menggunakan pendekatan kualitatif berasaskan kajian kes pelaksanaan Klinik Bantuan Halal dan pembangunan Polisi Halal Dapur Siswa MADANI di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Data diperoleh melalui analisis dokumen, pemerhatian persekitaran dapur komuniti, pengenalpastian risiko halal dan input pemegang taruh, seterusnya dianalisis secara tematik. Tema yang dikenal pasti kemudiannya dipetakan kepada enam nilai teras Malaysia MADANI, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan. Kerangka yang dicadangkan meletakkan halalan tayyiban dan Maqasid Syariah sebagai asas nilai, manakala enam nilai Malaysia MADANI berfungsi sebagai dimensi tadbir urus yang diterjemahkan melalui polisi dan prosedur, kawalan bahan dan peralatan, pengurusan risiko, kebersihan dan keselamatan makanan, tanggungjawab pengguna serta pemantauan berterusan. Klinik Bantuan Halal pula berperanan sebagai mekanisme intervensi melalui proses diagnosis, pendidikan, bimbingan, tindakan pembetulan dan penilaian semula. Kajian ini mencadangkan bahawa pembentukan Dapur Halal MADANI memerlukan integrasi antara prinsip Syariah, nilai Malaysia MADANI dan sistem tadbir urus halal yang berorientasikan komuniti. Kerangka ini berpotensi menjadi panduan kepada IPT dalam memperkukuh integriti halal, keselamatan makanan, kesejahteraan pelajar, kepercayaan komuniti dan kelestarian pengurusan dapur komuniti.

Published
2026-08-27
How to Cite
Othman, M. R. (2026). P121 Dapur Halal MADANI: Pembangunan Kerangka Tadbir Urus Dapur Komuniti Berteraskan Nilai Malaysia MADANI di Institusi Pengajian Tinggi. Proceedings Borneo Islamic International Conference EISSN 2948-5045. Retrieved from https://majmuah.com/journal/index.php/kaib1/article/view/1160