P087 Memperkasa Etika Tata-Kelola Pengurusan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) bagi Negara Islam Membangun:
Analisis Konteks Malaysia dan Indonesia
Abstract
Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) kini menjadi pemacu utama transformasi digital global yang
mempengaruhi hampir semua sektor ekonomi, pendidikan, kesihatan, kewangan dan pentadbiran awam. Malaysia dan Indonesia turut memperlihatkan perkembangan pesat dalam pelaksanaan teknologi AI melalui pelbagai dasar nasional bagi meningkatkan produktiviti, daya saing dan pembangunan ekonomi digital. Walau bagaimanapun, pembangunan AI turut membawa pelbagai cabaran etika termasuk isu ketelusan algoritma, bias data, privasi, keselamatan siber, integriti akademik serta akauntabiliti terhadap keputusan yang dihasilkan oleh sistem pintar. Cabaran tersebut menunjukkan bahawa pembangunan AI tidak lagi boleh dinilai hanya daripada sudut kecanggihan teknologi, malah memerlukan kerangka etika yang mampu memastikan teknologi terus berfungsi untuk kesejahteraan manusia. Dari perspektif Islam, AI merupakan suatu bentuk inovasi yang harus dipandu oleh prinsip maqasid syariah bagi memastikan penggunaannya tidak bercanggah dengan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab moral. Oleh itu, artikel ini akan mengupas pembangunan AI beretika melalui perspektif Islam dengan memberi fokus kepada konteks pembangunan Malaysia dan Indonesia. Dengan menggunakan pendekatan konseptual berasaskan analisis literatur bagi menghuraikan hubungan antara pembangunan AI, prinsip etika Islam dan keperluan tadbir urus teknologi yang beretika. Dapatan kajian mencadangkan bahawa pembangunan AI yang mampan memerlukan integrasi antara piawaian antarabangsa mengenai Responsible AI dengan nilai Islam sebagai asas pembentukan sistem AI yang telus, adil, berpusatkan manusia dan menyumbang kepada pembangunan lestari di rantau ASEAN.