P045 Surail Abdul Kahar @ Eting
Abstract
Komuniti marginal di pelbagai negara masih berhadapan dengan cabaran yang kompleks, termasuk keciciran pendidikan, kemiskinan, keterbatasan peluang ekonomi, kekurangan infrastruktur asas serta pengasingan sosial. Walaupun pelbagai inisiatif pembangunan telah dilaksanakan, kebanyakannya masih bersifat sektoral dan belum menyediakan satu kerangka pembangunan komuniti yang menyeluruh, bersepadu dan lestari. Sehubungan itu, kajian ini memperkenalkan Model Pembangunan Holistik Berimpak (MPHB) sebagai satu kerangka transformasi peradaban berasaskan pembangunan komuniti yang mengintegrasikan pembangunan insan, pembangunan sosioekonomi, pengukuhan komuniti dan kolaborasi strategik berteraskan prinsip Maqasid al-Syariah. Kajian menggunakan pendekatan kajian kes kualitatif dengan menjadikan Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) Sabah sebagai kajian kes empirikal berdasarkan pengalaman lebih sedekad memperkasa komuniti stateless, etnik minoriti dan komuniti tercicir. Data diperoleh melalui analisis dokumen, pemerhatian lapangan dan rekod pelaksanaan program. Dapatan menunjukkan bahawa pendekatan pembangunan yang bersifat holistik berjaya meningkatkan akses kepada pendidikan, memperkukuh modal insan, memperluas peluang ekonomi, mengukuhkan kapasiti komuniti serta mewujudkan mobiliti sosial yang lebih mampan. Kajian ini mencadangkan MPHB sebagai satu kerangka konseptual baharu yang menghubungkan pembangunan insan, ekonomi, infrastruktur, pengupayaan komuniti dan kolaborasi strategik dalam satu ekosistem pembangunan yang bersepadu. Model ini berpotensi dijadikan rujukan oleh NGO, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan organisasi pembangunan antarabangsa dalam merangka strategi pembangunan komuniti marginal yang lebih inklusif, berdaya tahan dan lestari selaras dengan agenda Transformasi Peradaban, Kelestarian Ummah dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Kata Kunci: Model Pembangunan Holistik Berimpak (MPHB), Pembangunan Komuniti, Komuniti Marginal, Maqasid al-Syariah, Transformasi Peradaban, Kelestarian Ummah.