Abstract

Kajian sains itu perlu dipandu apa jua perkembangan yang dibangunkan oleh manusia berteraskan sumber wahyu dan berinspirasikan keagungan Allah sebagai Pemilik dan Pencipta seluruh alam. Sudah pastilah Al-Quran sebagai sumber ilmu yang memandu sains agar mentauhid pencipta sekalian alam tidak boleh dipisahkan. Kertas kajian ini akan memfokus kepada air sebagai sumber tenaga merujuk kepada rahsia petikan Surah Ar Rahman (55:19-20) dan Al-Furqan (25:53) menjadi sumber rujukan utama. Air merupakan sumber semula jadi yang kritikal dalam kehidupan dan berpotensi tinggi sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui. Perbezaan ketara antara air laut dan air tawar dari segi kepekatan ion menghasilkan tenaga kecerunan kemasinan (SGE) yang boleh dimanfaatkan untuk penjanaan tenaga elektrik dari alam sekitar manusia. Kajian ini bertujuan untuk meneroka potensi perbezaan sifat fizikal dan kimia antara air laut dan air tawar sebagai asas kepada sistem penjanaan tenaga berasaskan sel bahan api. Air laut dikutip dari pantai Teluk Likas, Kota Kinabalu manakala air tawar diperoleh daripada sumber hujan dan sungai berhampiran kampus UiTM Cawangan Sabah. Kedua-dua sampel air ditempatkan dalam sel berasingan (dual chamber) yang dipisahkan oleh selaput nipis. Dua jenis selaput iaitu lapisan nipis sekam jagung (corn husk) dan selaput Fumasep sebagai selaput paiwai digunakan sebagai ‘dinding” pemisah air laut dan air tawar. Dengan elektrod grafit direndam dalam air tawar dan elektrod aluminium dalam air laut disambung kepada multimeter untuk mendapatkan bacaan beza upaya (voltan). Pengukuran perbezaan keupayaan menggunakan multimeter digital menunjukkan bacaan antara 0.30 hingga 1.00 V dengan arus dalam lingkungan miliampere (mA) hingga microampere (mA). Dua jenis kepakatan air laut dalam 60 ppt dan 120 ppt dengan saiz elektrod grafit (besar dan kecil) menghasilkan mikroelekrik yang berbeza. Keputusan ini membuktikan bahawa perbezaan ion antara kedua-dua jenis air dapat menghasilkan tenaga melalui mekanisme pemindahan ion tanpa pencampuran fizikal. Penjelasan konsep penukaran tenaga osmotik (PTO) turut dikemukakan, di mana molekul air merentasi selaput separa telap akibat perbezaan kepekatan, menghasilkan tekanan osmotik yang dapat ditukar kepada tenaga mikroelektrik. Hasil kajian ini menunjukkan potensi penggunaan air laut dan air tawar sebagai sumber alternatif penjanaan elektrik yang mesra alam. Prestasi sistem dipengaruhi oleh jenis selaput, saiz elektrod yang digunakan dan kandungan garam dalam air laut. Kajian lanjutan disarankan bagi meningkatkan kecekapan sistem dan aplikasi dalam skala sebenar.


Katakunci: Penjanaan tenaga, kecerunan kemasinan, selaput nipis pertukaran ion, penukaran tenaga osmotik, Quran & sains