Abstract

Surah al-Taubah ayat 60 menyatakan terdapat lapan golongan yang layak menerima zakat. Mereka ialah fakir, miskin, amil, muallaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil. Al-riqab berada di kedudukan kelima. Kini, peruntukan zakat kepada golongan riqab (hamba) dibahagikan kepada golongan asnaf yang lain kerana golongan hamba tidak wujud lagi di Malaysia. Namun terdapat beberapa buah negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Melaka telah memperluaskan definisi riqab kepada individu yang ingin keluar dari belenggu kejahilan dan masalah sosial. Individu tersebut ialah pondan, pelacur dan gigolo. Walau bagaimanapun, terdapat yang menolak fatwa negeri-negeri tersebut. Artikel ini bertujuan mengenal pasti sifat golongan pondan, pelacur dan gigolo yang termasuk dalam golongan riqab. Ia juga bertujuan untuk menganalisis prinsip penentuan hukum golongan tersebut yang difatwakan sebagai riqab. Kajian ini menggunakan metod analisis dokumen seperti buku-buku tafsir, fiqh empat mazhab dan jurnal-jurnal. Data dianalisis melalui analisis kandungan secara tematik. Hasil kajian menunjukkan golongan pondan, pelacur dan gigolo layak dipertimbangkan untuk menerima bantuan zakat di bawah asnaf riqab. Namun ia mestilah berdasarkan kepada kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh negara. Fawta ini adalah bertujuan untuk memastikan mereka mampu keluar dari kemelut kemaksiatan dan meneruskan kehidupan yang lebih baik. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memastikan asnaf-asnaf zakat yang terdapat dalam nas kekal releven pada setiap zaman. Oleh itu, pihak pengurusan zakat di Malaysia harus melaksanakan peruntukan asnaf riqab secara sistematik dan cermat agar tidak berlaku sesuatu yang bercanggah dengan prinsip Islam. Hal ini akan memartabatkan lagi institusi zakat dan Islam sebagai agama Rahmatan lil Alamin.